galaksiii...

Sabtu, 10 Januari 2009

Galaksi adalah gabungan berbilion bintang. (Bintang ialah objek-objek angkasa besar seperti matahari. Bumi dan bulan bukan bintang). Terdapat tiga trilion bintang di dalam galaksi terbesar. Di dalam galaksi bersaiz sederhana, terdapat kira-kira 200 ke 300 bilion bintang, sementara terdapat sekitar 100 bilion bintang di dalam galaksi kecil.

Sekarang berhenti dan fikirkan seketika: Apa ertinya jumlah satu bilion kepada kamu? Contohnya, jika kamu meletakkan dua sifar selepas angka satu, ia akan menjadi 100. Jika kamu menambahkan satu lagi sifar kepada angka ini, ia akan menjadi 1,000. Tambah satu lagi sifar dan sekarang kamu mendapat 10,000 (sepuluh ribu). Bolehkah kamu mengira sehingga 10,000? Mungkin kamu boleh melakukannya, tetapi ia mengambil masa yang panjang. Sedangkan kita masih belum sampai ke angka satu bilion. Kemudian kita tambahkan dua sifar kepada angka 10,000. Sekarang kita mendapat 1,000,000 (satu juta). Kita masih tidak mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Tetapi jika kamu menambah tiga lagi sifar pada angka 1,000,000, kamu akan mendapat 1,000,000,000 (satu bilion). Bolehkah kamu mengira sehingga 1,000,000,000? Biar kita menjawab soalan ini; mengira satu bilion memakan masa selama beberapa dekad, satu dekad ialah sepuluh tahun.



Sekarang kita hampir mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Jika kamu menambahkan dua lagi sifar selepas angka 1,000,000,000, ia menjadi 100,000,000,000 (seratus bilion). Ia adalah jumlah bintang-bintang di dalam galaksi-galaksi kecil.

Sekarang sudahkah kamu mendapat gambaran tentang cakerawala ini. Jika kamu menghabiskan seluruh masa kamu mengira, kamu masih gagal mengira semua bintang-bintang di angkasa. Allah, Pencipta alam ini, telah menjadikan angkasa tidak terbatas yang tidak dapat kamu bayangkan, dan Dia mengawal setiap titik cakerawala yang besar ini setiap masa. Allah mengetahui dan melihat setiap hidupan di dalam cakerawala yang besar ini, dan segala apa yang berlaku. Kuasa tidak terbatas Allah ini diceritakan di dalam Al-Quran seperti berikut:

… dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di Bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap- tiap sesuatu. (Surah Ali 'Imran:29)

Sekarang mari kita kembali kepada topik kita dan cuba mempelajari lebih banyak tentang galaksi.

Di dalam galaksi-galaksi bersaiz sederhana atau besar, terdapat satu pusat galaksi. Sekeliling pusat galaksi ini adalah tangan-tangan yang berputar pada kelajuan yang besar. Tangan-tangan ini terdiri daripada bintang-bintang, gas dan awan-awan debu.

Dengan tangan-tangan dan pusatnya, galaksi-galaksi adalah objek angkasa terbesar di angkasa. Kelompok-kelompok galaksi ini juga membentuk kelompok-kelompok objek angkasa yang lain. Terdapat beratus-ratus galaksi di dalam satu kelompok galaksi. Tambahan pula, kelompok-kelompok galaksi ini membentuk kelompok-kelompok objek angkasa lain. Kelompok galaksi ini makin membesar dan terus membesar.

Sekarang mari kita senaraikan kembali apa yang telah kita perhatikan setakat ini:

* Galaksi adalah himpunan berbilion, malah bertrilion bintang-bintang.
* Galaksi-galaksi yang besar dan sederhana mempunyai pusat galaksi.
* Galaksi mempunyai tangan-tangan terdiri daripada bintang-bintang, gas dan awan-awan debu. Tangan-tangan ini berputar keliling pusat galaksi pada kelajuan yang tinggi.
* Galaksi-galaksi berkumpul untuk membentuk kelompok galaksi. Kadangkala, terdapat beratus-ratus galaksi di dalam satu kelompok galaksi. Kelompok-kelompok galaksi ini juga berkumpul di dalam himpunan kelompok.

Simpan di dalam fikiran kamu, sebuah galaksi yang terkumpul daripada 100 bilion bintang-bintang adalah sebuah galaksi kecil, jangan lupa setiap bintang adalah sekurang-kurangnya sebesar matahari. Tambahan pula, terdapat planet-planet besar dan kecil seperti Bumi kita yang berputar mengelilingi semua bintang-bintang ini.

Sekarang, fikirkan perkara berikut: Bolehkah berbilion-bilion bintang dapat berkumpul secara kebetulan di dalam keadaan yang tersusun? Bolehkah bintang-bintang ini secara spontan mengadakan satu aturan yang membolehkan mereka bergerak tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa yang lain (contohnya Bumi kita dan planet-planet lain)?

Sudah tentu mustahil. Ini bererti bahawa bintang-bintang yang berputar dengan kelajuan yang tinggi tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa yang lain sejak mula kewujudannya adalah satu petanda kewujudan Allah: Pencipta, Perancang, Pengatur dan Pentadbir seluruh alam. Allah telah menjadikan banyak laluan untuk planet-planet, bintang-bintang dan komet-komet di angkasa. Semua objek-objek angkasa ini mengikut laluan mereka sendiri tanpa berlanggar dengan yang lain.
Read More…

0 komentar:

 
aBouT aLL - by Templates para novo blogger 2007